Pages

Wasiatku


Kerana Hidup Ini Begitu Singkat ~

Hidup ini sementara. Entahkan bila lagi kita akan bertemu. Entahkan sempat atau tidak kita bertemu buat kali terakhir. Entahkan sempat atau tidak kau menjengukku tatkala ku sudah hampir dikambus didalam liang lahad.

Wasiat ini bukan bermaksud aku akan mati dalam masa terdekat dek barah atau penyakit-penyakit kronik. Bukan juga bermaksud aku ingin melakukan sesuatu yang diluar jangkaan. Bukan juga bermaksud aku akan melakukan aksi-aksi lagak ngeri yang merbahaya. Tetapi sebagai persediaan, andai kata aku dijemput oleh malaikat Izrail atas perintah Allah SWT, yang entahkan ketika waktu itu aku bersedia atau tidak. Wasiat ini hanyalah pesananku kepada semua yang mengenaliku, sekadar pesanan terakhir yang ditaip sewaktu aku masih bernafas.

Bismillahirahmanirahim...

Kehadapan Mama yang kucintai, abang dan kakak-kakakku, serta adik-adikku.

Pesanan ini khas buat kamu semua. Ketahuilah bahawa sentiasa dalam hidupku ini bahawa aku menyayangi kamu semuanya. Ketahuilah kehendak hati ini, dimana aku ingin kamu semua melakukannya andai aku tidak berkesempatan melakukannya lagi.

Wahai kekandaku Nurul Faizan,
maafkanlah diri ini yang selalu menyusahkanmu. Aku tahu bahawa kamu selalu berkorban dan berusaha keras dalam membantu keluarga kita. Aku tak ada apa-apa yang mampu kuberikan dalam membalas jasamu. Cuma satu pesananku, amalkanlah ayat 1000 dinar dan berdoalah semoga Allah permudahkan dan membuka seluas-luasnya pintu rezeki buatmu. Supaya kamu dapat membela nasib keluarga kita yang sering ditindas.

Kehadapan kekandaku Ahmad Faiz,
maafkanlah diri ini kerana membuatkanmu risau. Aku tahu segala yang kau usahakan adalah untuk menjaga dan melindungi keluarga kita. Aku juga tak ada apa-apa yang mampu kuberikan untuk memudahkanmu. Cuma satu pesananku, bersabarlah dengan karenah keluarga kita dan sentiasalah melindungi keluarga kita dengan sentiasa berada disamping mereka. Support! Berikan mereka sokongan dan bukan lagi kekosongan. Kerana dikala mereka ditindas, ada kau yang akan menjaga dan membalas kejahatan orang lain yang menindas mereka. Bermaaf dan maafkanlah antara satu sama lain, kerna segala perselisihan faham yang berlaku adalah kerana mereka tidak faham. :)

Kehadapan kekandaku Noor Fadhilah,
maafkanlah diri ini kerana membuatkanmu bersusah payah. Aku tahu kamu sungguh kuat dan tabah dalam menghadapi dugaan hidup ini. Aku tahu betapa besarnya dan bermaknanya pengorbananmu . Cuma satu pesananku, jagalah dirimu sebaik mungkin sebagaimana kamu berusaha menjaga kami dengan sebaik mungkin. Seandainya kamu ingin memilih bakal suamimu, pilihlah yang rajin bekerja dan tidak berkira, yang mampu berkorban dan menyayangi keluarga kita, seperti mana keluarga kita juga adalah keluarganya. Sebagaimana ku yakin, kamu juga akan menyayangi keluarga bakal suamimu juga sebagaimana kamu menyayangi keluarga kita.

Kehadapan adindaku Siti Sufiah,
maafkanlah diri ini kerana gagal melindungimu sebagaimana seorang abang patut melindungi adiknya. Maafkanlah ku yang begitu kebudak-budakan. Sesungguhnya aku tidak matang dalam menangani sifat degilmu. Walau bagaimanapun, aku tahu kamu kuat dalam menempuhi cabaran hidup. Satu pesananku, belajarlah untuk bersabar dan belajarlah untuk berfikir dahulu sebelum berkata-kata. Diam, fikir, dan sebutlah perkataan yang lembut tetapi memberi maksud yang mendalam. Sesungguhnya berhujah dengan ilmu adalah lebih bernilai berbanding berhujah tanpa fakta.

Kehadapan adindaku Siti Solehah,
maafkanlah diri ini kerana membuatkanmu bersusah payah. Aku tahu kamu juga seperti kekanda Faizan dan Fadhilah yang telah berusaha keras demi keluarga kita. Aku tak ada apa-apa yang mampu kuberikan dalam membalas jasamu. Cuma satu pesananku, jagalah dirimu sebaik mungkin sebagaimana kamu telah menjaga dirimu sebaik-baiknya selama ini. Berusahalah dengan IKHLAS dalam menuntut ilmu dan berniatlah segala perjuanganmu itu satu perjuangan untuk membela nasib keluarga kita. Ketahuilah bahawa "anak-anak adalah rezeki bagi ibubapa" dan kita adalah rezeki yang dikurniakan oleh Allah kepada Mama dan Abah.

Kehadapan adindaku Fatin Nabila,
maafkanlah diri ini kerana tidak meluangkan masa denganmu. Aku mahu kamu tahu bahawa kita berjauhan bukan kerna niatku. Aku mahu kamu tahu bahawa aku juga merinduimu setiap waktu. Aku mahu kamu tahu bahawa aku sentiasa bersangka baik kepada penjagamu walaupun setiap tahun dia berkata dia terlalu sibuk untuk membenarkan kita berjumpa. Maafkan aku wahai adindaku. Seandainya kamu masih tidak mempunyai kenderaan, terimalah pemberianku iaitu PKP 3964 untuk kamu bergerak. Dan pulangkanlah kepada Ibunda kita sekiranya kamu tidak memerlukannya lagi. Satu pesananku, sayangilah Ibundamu yang telah melahirkanmu dan hormatilah Ibundamu yang telah menjagamu. Ingatlah, kami sayangkan kamu jua.

Kehadapan adindaku Hariz Faiza Syarqawi,
maafkanlah diri ini kerana tidak sempat lagi meluangkan masa denganmu. Terasa bagai sebentar sahaja aku bersamamu. Wahai adindaku Hariz, ingatlah pesananku. Jagalah adinda Balqis dengan sebaik-baiknya. Lindungilah dia selalu. Jenguklah, jelinglah dan pantaulah dia agar kau sentiasa ketahui dimana dia berada. Usahlah terlalu banyak bermain dan mulakan fokus untuk belajar sehingga kemenara gading. Untuk itu, terimalah pemberianku ini Memory26 yang telah banyak berjasa dan menyimpan memori bersamaku. Gunakanlah ia untuk kebaikan dan sebagai temanmu sehingga akhir hayatnya.

Kehadapan adindaku Nurul Lya Balqis,
maafkanlah diri ini kerana tidak sempat lagi meluangkan masa denganmu. Ketahuilah bahawa aku begitu sayang padamu. Wahai adindaku Nurul Lya Balqis, ingatlah pesananku. Belajarlah rajin-rajin dan membesarlah dengan menjadi seorang muslimah yang baik, berjaya dan terpuji serta jadilah anak yang solehah. Kenangilah jasa dan pengorbanan Mama dan senangkanlah hati Mama sentiasa. Wahai adindaku, tiada apa yang mampuku berkan kepadamu kecuali pesanan ini sahaja. Maafkanlah kekandamu ini yang tidak sempat untuk menjagamu sebaik mungkin.

Kepada ibundaku yang kucintai, maafkanlah anakandamu yang sentiasa lalai dan degil ini. Halalkanlah makan minumku serta susu yang ku minum semenjakku dilahirkan.

Mama,
Segala hartaku yang ada adalah milikmu. Gunakanlah segala wang yang ada didalam akaun bank ku. Satu pintaku, belikanlah sepasang pakaian yang menutup aurat sepenuhnya, sepasang telekung dan sejadah buat dirimu dan saudara-saudara perempuanku. Manakala buat kekanda Faiz dan adinda Hariz, belilah mereka sepasang pakaian solat lengkap dan juga sejadah. Hantarlah Hariz dan Lya untuk belajar agama agar mereka fahami dan mengamalkan agama Islam dengan baik. Ampunkanlah segala dosaku kepadamu lebih-lebih lagi jika tiada apa yang kutinggalkan didalam akaun bank itu.

Kehadapan kekasih hatiku,
maafkanlah diri ini kerana gagal untuk bersamamu seperti janji-janjiku dahulu. Ku pernah berjanji untuk menjagamu sehingga akhir hayatmu namun janji itu ku mungkiri. Nantikanlah ku di pintu Syurga andai memang sebenar-sebnarnya kau jodohku sehingga ke Syurga. Sayangku...~

Selamat tinggal selama-lamanya. Kenanglah daku dalam doamu. (andanya aku pergi dulu sebelummu....)

Waalaikummussalam wbt.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...